Oleh: Muhammad Akmal Ahmat, Pustakawan Universiti Sains Malaysia
Dunia kini semakin jelas atas kepentingan untuk membangunkan platform Sains Terbuka (Open Science). Namun, ianya bukan suatu jalan yang mudah dilakukan. Misalnya di benua Eropah, hasil desakan aktivis-aktivis hak asasi manusia yang memperjuangkan keperluan Sains Terbuka sejak awal tahun 2000an lamanya; akhirnya pada tahun 2017 barulah Sains Terbuka diterima dan mendapat perhatian beberapa ahli politik dan ahli parlimen di benua Eropah itu sendiri. Mereka yang berkuasa itu mulai sedar apabila wujudnya bukti-bukti jelas Sains Terbuka adalah sumber rutin penting kepada masyarakat selain daripada air, makanan, tenaga, dan rangkaian internet. Pada asasnya, Sains Terbuka dibangkitkan berikutan isu-isu pertikaian masyarakat terhadap perbelanjaan dana awam yang diamanahkan kepada kerajaan untuk diuruskan. Isu ketelusan dalam aktiviti penyelidikan yang ditanggung dana awam menjadi isu hangat di negara-negara Eropah. Dana awam yang digunakan untuk penyelidikan sepatutnya dikembalikan kepada masyarakat dalam bentuk akses terbuka; tapi malangnya, ianya tidak dilakukan dengan betul sejak sekian lamanya. Aktivis-aktivis di negara-negara Eropah mendesak ketelusan perbelanjaan kerajaan diperbaiki dengan lebih serius supaya manfaat aktiviti penyelidikan dapat digunakan sebaik mungkin bersama-sama tanpa sebarang halangan. Namun begitu, penerbitan dan data penyelidikan pula masih kurang terbuka. Ditambah pula, masyarakat terpaksa bayar harga yang sangat mahal untuk mengakses bahan-bahan seperti artikel dan data penyelidikan yang dijanakan daripada dana awam; sudah tentu ianya tampak merugikan pelaburan dari hasil cukai rakyat itu sendiri.
Atas dasar dan keperluan tersebut sejak tahun 2017 platform Sains Terbuka di negara-negara Eropah telah dibangunkan dengan sistematik dan teratur dibawah kuasa-kuasa perundangan dan eksekutif kerajaan. Keterlibatan secara langsung dan tidak langsung dalam membangunkan platform Sains Terbuka bukan sahaja melibatkan para saintis sahaja. Malah, ianya telah melibatkan semua golongan masyarakat di benua Eropah yang terdiri daripada pelbagai warga profesional dan bukan profesional di semua peringkat agensi-agensi kerajaan dan swasta termasuk juga Perpustakaan. Hal ini kerana masyarakat benua Eropah menganggap isu Sains Terbuka adalah salah satu aspek hak asasi manusia yang sangat penting untuk dibangunkan tanpa perlu dibantah oleh mana-mana pihak. Atas sokongan tidak berbelah bahagi itu, Parlimen Kesatuan Eropah telah meluluskan sejumlah besar dana pelaburan dalam membangunkan platform Sains Terbuka ini. Ianya melibatkan pelaburan membangunkan sistem teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi yang dinamakan sebagai European Open Science Cloud (EOSC). Projek EOSC ini telah menelan belanja sejumlah Euro €300 juta termasuk dalam hal melaksanakan projek perintis data FAIR (Findability, Accessibility, Interoperability, & Reusability) yang selari dengan keperluan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Projek EOSC juga dilaksanakan bersama dengan program Horizon 2020. Program Horizon 2020 ini adalah berkaitan dengan kerangka pelan pembangunan ke-lapan (8) benua Eropah dari segi penyelidikan, pengembangan teknologi, dan inovasi. Kedua-dua projek dan program tersebut sedang dikelolakan dibawah agensi-agensi European Commission, kerajaan eksekutif Kesatuan Eropah.
Di Malaysia, pada 30 Mac 2020 yang lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat (YB) Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan dengan jelas komitmen kerajaan untuk memperkasakan pendekatan santifik yang lebih meluas. Pendekatan tersebut menuntut perubahan terhadap sosial, tingkah laku dan akses data saintis. Ianya dikatakan dapat membantu memulihkan negara dari serangan pandemik COVID-19 dan dijangka juga negara dapat membangunkan inovasi teknologi yang lebih baik pada masa akan datang. Perkara ini juga diambil perhatian serius oleh 77 menteri dan setiausaha kerajaan yang mewakili 122 negara dan wakil organisasi antarabangsa. Wakil-wakil negara tersebut membincangkan perkara terbabit semasa sesi Dialog Maya Menteri-Menteri Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai COVID-19 dan Sains Terbuka yang telah berlangsung pada hari yang sama. Sesi perbincangan tersebut ada juga menekankan keperluan segera banyak negara untuk terlibat sama mewujudkan platform atau pusat simpanan penyelidikan, perubatan dan inovasi teknologi yang lebih terbuka

Sumber: https://en.unesco.org/news/unesco-hosted-virtual-ministerial-dialogue-covid-19-and-open-science
Kemudian, pada 5 Ogos 2020 ketika sesi penggulungan MOSTI sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen bagi perbahasan menjunjung kasih ke atas titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, YB Khairy Jamaluddin telah menyebut tentang komitmen Kerajaan Malaysia untuk meneruskan permerkasaan inisiatif-inisiatif dibawah sektor-sektor seperti Sektor Sains Teknologi dan Inovasi (STI), Sektor Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA) dan Sektor Pengurusan yang telah diwartakan pada bulan Februari 2020 yang lalu. Inisitaif-inisiatif tersebut memfokuskan impak kepada rakyat dalam bidang keutamaan negara iaitu tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim, serta pembangunan sosio ekonomi negara dan bersifat inklusif. Menjadi tumpuan dibawah PSA terdapat satu inisiatif diperkenalkan untuk memperkasakan platform kolaborasi strategik yang dinamakan sebagai Malaysia Open Science Platform (MOSP).
MOSP sebenarnya telah mula dilaksanakan pada tahun 8 November 2019. Ketika itu, pelancaran inisiatif dilakukan oleh menteri lantikan kerajaan terdahulu iaitu YB Yeo Bee Yin. MOSP juga dibangunkan dengan tujuan sebagai platform yang mengangkat prinsip-prinsip “making research data Findable, Accessible, Interoperable and Reusable (FAIR)” dan pelan tindakan menyokong bersama Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ianya juga adalah satu langkah yang proaktif dan pemangkin ke arah perkongsian data penyelidik yang sistematik, dipercayai dan selamat untuk manfaat semua pihak.
Menerusi agensi pelaksana Akademi Sains Malaysia (ASM) yang merupakan agensi penting MOSTI (dahulu dibawah MESTECC) beberapa usaha pembangunan MOSP diperingkat pengelolaan dan pentadbiran kerajaan sedang dirangka dan dijangka akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2021.
Buat masa ini, penglibatan projek MOSP melibatkan beberapa agensi kerajaan, badan berkanun dan industri yang terpilih yang kemudian dimaktubkan melalui perikatan agensi kerajaan yang dikenali sebagai Malaysia Open Science Alliance (MOSA). Walaupun penyertaan MOSA buat masa ini adalah terhad; namun, keahlian agensi-agensi yang terlibat akan dijangka bertambah daripada semasa ke semasa. MOSA telah dipertanggungjawab mengadakan beberapa kajian, program, pertemuan dan aktiviti dengan pemegang-pemegang taruh yang menghasilkan dan memiliki penerbitan dan data penyelidikan-penyelidikan di seluruh Malaysia ini. Antaranya ialah memperkenalkan inisiatif perintis dengan lima unversiti penyelidikan (RU) melalui 3 fokus bidang iaitu:-
- Pembangunan polisi dan garis panduan
- Pembangunan kapasiti dan kesedaran
- Pembangunan infrastruktur
Sehingga kini, ASM dan MOSA juga telah melaksanakan perkara-perkara berikut:-
- Mengadakan Open Science Forum for Asia and the Pacific Region pada 13 Februari 2020 bagi mengumpulkan dan mendapatkan sokongan serta kerjasama tentang dasar Sains Terbuka untuk bidang penyelidikan sains dan teknologi dari kalangan pemegang-pemegang taruh di rantau Asia Pasifik, dan mengeluarkan kenyataan persetujuan bersama.
- Mengadakan Dialogue on Open Science di Universiti Malaya pada 14 February 2020 bagi merungkai kaedah dan cara membangunkan platform Sains Terbuka dengan lebih sistematik dan teratur secara teknikal, perundangan, dan pentadbiran kerajaan.
- Menjalankan kajian landskap dan dua kaji selidik dalam talian mengenai Sains Terbuka di Malaysia. Satu, untuk perspektif penyelidik dan kedua adalah untuk perspektif pustakawan.
- Mengadakan beberapa siri Stakeholder Engagement Workshop dengan pemegang-pemegang taruh agensi-agensi berkaitan dengan aktiviti penyelidikan bagi mendapatkan maklumbalas terus tentang persepsi dan pandangan Sains Terbuka.
- Melaksanakan inisiatif melatih data steward dan saintis data seramai 12 orang dan 50 orang lagi yang terdiri daripada penyelidik-penyelidik dan pustakawan-pustakawan terpilih sehingga pada penghujung tahun ini yang berperanan untuk mengurus tadbir data penyelidikan di seluruh Malaysia.
- Melaksana penganjuran bengkel pembangunan polisi Sains Terbuka.
- Melaksanakan pembangunan modul latihan untuk pembangunan kompetensi Sains Terbuka.
- dan lain-lain aktiviti pembangunan Sains Terbuka.
Secara keseluruhan, pembangunan sains terbuka yang melibatkan penyelidik-penyelidik dan pustakawan-pustakawan Malaysia sedang pesat dibangunkan. Terdapat banyak fasa pembangunan yang perlu dilalui. Ianya masih terlalu awal untuk mengatakan Malaysia sudah berjaya melaksanakan Sains Terbuka. Walaubagaimanapun, marilah kita menyokong usaha dan inisiatif membangunkan Sains Terbuka ini agar masyarakat secara umum dapat memanfaatkan hasil-hasil penyelidikan negara dengan lebih meluas terutama dalam menangani isu-isu berita palsu terutama berkaitan bidang sains yang semakin berleluasa kini. Semua pihak dijemput untuk sentiasa mengemas kini dan mengikuti rapat perkembangan Sains Terbuka di Malaysia melalui paparan-paparan maklumat berkaitan MOSP ini. Ianya boleh didapati melalui laman web dan laman Facebook MOSP. URLs:-
- https://www.akademisains.gov.my/mosp/
- https://www.facebook.com/Malaysia-Open-Science-Platform-104128534575340/
Rujukan:-
Belluz, J. (2015, January 10). Taxpayers spend $140 billion funding science each year — but can’t access many of the results. Vox. https://www.vox.com/2015/1/10/7522713/open-access
Broader scientific approach needed to prepare for next pandemic – Khairy. (2020, March 31). Astro Awani. https://english.astroawani.com/malaysia-news/broader-scientific-approach-needed-prepare-next-pandemic-khairy-236030
Dewan Rakyat: sesi penggulungan MOSTI sidang Parlimen ke empat belas penggal ketiga mesyuarat kedua [Video]. (2020, August 5). Facebook Watch. https://www.facebook.com/watch/?v=311334880060936
Dockrill, P. (2018, September 15). 11 EU nations just kicked off a plan to make public science free for all of us. ScienceAlert. https://www.sciencealert.com/europe-accelerates-sweeping-overhaul-make-all-science-free-2020-open-access-coalition-plan-s
European open science cloud (EOSC). (2018). European Commission. https://ec.europa.eu/research/openscience/index.cfm?pg=open-science-cloud
Malaysia open science platform (MOSP) – Charting the way forward for Malaysia open science. (n.d.). ASM – Academy of Sciences Malaysia – Think Sciences. Celebrate Technology. Inspire Innovation. https://www.akademisains.gov.my/mosp/
MESTECC. (2020). Siaran media: MESTECC meneruskan kesinambungan Pencapaian 2019 dengan melancarkan 130 inisiatif MESTECC 2020: Kuasai. Laksana. Ungguli. https://www.mosti.gov.my/web/wp-content/uploads/2020/02/11-Februari-2020-MESTECC-Meneruskan-Kesinambungan-Pencapaian-2019-Dengan-Melancarkan-130-Inisiatif-MESTECC-2020-Kuasai.-Laksana.-Ungguli.pdf
Open science in the newly adopted law on science and research in Serbia. (2019, July 16). OpenAIRE. https://www.openaire.eu/blogs/open-science-in-the-newly-adopted-law-on-science-and-research-in-serbia
UNESCO hosted a virtual ministerial dialogue on COVID-19 and open science. (2020, April 1). UNESCO. https://en.unesco.org/news/unesco-hosted-virtual-ministerial-dialogue-covid-19-and-open-science